April 25, 2011

Lebih Biru dari Biru


Lucah sana, lucah sini,

Terpampang sudah segenap segi,

Jelas terpapar dedahan asli,

Sekali tonton rasa nak lagi.


Siapa gerangan pelakon utama,

Perutnya boroi membuyut dada,

Bertuala panjang badan perkasa,

Namun identiti masih rahsia.


Wawasan 2020 semakin dihampiri,

Kini namanya wawasan pornografi,

Anak muda dihidang aksi,

sebelum belajar buat sendiri.


Zaman remaja mengenal dunia,

Belajar dari telunjuk yang tua,

Porno hadir hidangan utama,

Lazat dan bertenaga si anak muda.


Video merangsang darah si muda,

Yang tidak mengerti, tahu segala,

Yang jahil, peroleh idea,

Senyap-senyap intai tandas wanita,

Waktu malam pecah masuk asrama,

Rogol, sumbang mahram dan juga berzina,

Semakin bertambah 'permata' negara.


Inilah lumrah politik negara,

Kalau naik angin nak londeh semua,

Londeh sini dan londeh sana,

Yang penting kekal terus berkuasa,

Maruah negara belakang kira.


Dedah-mendedah dah jadi budaya,

Semua nak jadi berita utama,

Akhbar perdana dua kali lima,

Tanpa mengira sempadan agama,

Yang penting kami buat kerja.


Ya Allah Yang Maha Adil Saksama,

Tunjukkan kebenaran buat kami semua,

Yang zalim pasti Kau azab dan laknat,

Yang benar pasti Kau kurnia rahmat.


Kebenaran pasti akan tersurat,

Semoga yang bersabar beroleh berkat,

Di akhirat kelak beroleh rehat..


Hasil karya: Mat Teropong @ Muhammad Firdaus Abdul Rahim

February 24, 2011

When We Touched The Soft Spot.



Pemergian ku ke Rumah Anak-anak Yatim Nurul Ehsan, Sungai Siput pada asalnya untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin yang tidak pernah terjangkau oleh fikiran, walaupun aku pernah mendengar perkhabaran yang mengatakan pengalaman di sana adalah sesuatu yang amat bermakna dan sukar untuk dilupakan. Kami diminta oleh Majlis Tertinggi Rancangan Khidmat Masyarakat, USM (RKMUSM) untuk mendapatkan sekurang-kurangnya seorang anak yatim untuk dijadikan adik angkat bagi menyelami kisah dan latar belakang mereka. Bagi diriku, ini adalah satu cabaran kerana seseorang yang mempunyai masalah peribadi seperti mereka agak sukar untuk mempercayai orang luar, apatah lagi berkongsi sesuatu yang peribadi. Jadi, aku tidak meletakkan sebarang harapan untuk mendapatkan adik angkat di sana.

Rombongan RKMUSM tiba di rumah kebajikan tersebut lebih kurang selepas masuknya waktu zuhur dan sambutan yang ala kadar. Aku melihat keceriaan terpancar jelas di mata anak-anak kecil tatkala melihat kedatangan kami di sana. Mereka amat teruja apabila abang-abang dan kakak-kakak angkat mereka datang lantas memberikan pelukan erat menunjukkan tanda rindu mereka yang sekian lama dipendam. Namun begitu, aku tertarik dek kecomelan dan kelincahan seorang anak kecil yang cuba mendapatkan perhatian kami. Dia menjadi tarikan kepada semua rakan-rakan ku yang lain. Ada yang bersalaman dengannya, mencuit lengan dan ada juga yang menarik pipinya yang gebu. Aku hanya melihat dari sudut yang jauh. Adik tersebut dikenali sebagai Iman.

Selesai solat zuhur berjemaah, kami diminta untuk berkumpul di suatu tempat bagi melakukan pengisian yang seterusnya iaitu sesi pengenalan diri. Aku lihat Iman keseorangan di surau dan tidak seperti yang lain, lincah untuk ke dewan. Lantas dengan penuh kemesraan aku mengajaknya bersama ku ke dewan. “Iman penat, tak larat nak pegi..” katanya. Aku mempelawa untuk mendukung tubuh kecil itu bagi membantunya bergerak ke dewan. Dengan hati yang terbuka, dia menyambut tangan ku dan memeluk dengan erat bagai pertama kali didukung. Aku senyum simpul melihat reaksinya yang positif.

Pada sebelah petangnya, kami diberi tugasan untuk mendapatkan adik-adik angkat dan cuba memperoleh maklumat tentang diri mereka. Tidak ada yang lain di hati kecil ku melainkan Iman yang masih lagi duduk bersama ku. Aku mendukungnya ke sungai di mana rakan-rakan ku yang lain membuat aktiviti bersama adik-adik mereka. Aku terkejut apabila melihat dirinya yang sebenarnya mempunyai kekurangan dari segi fizikal. Dia dikatakan berusia 8 tahun, tetapi mempunyai tubuh seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 4 tahun kerana dia menghadapi masalah dengan pembentukan tulang. Aku dinasihatkan agar memegangnya dengan berhati-hati kerana tulang lembutnya agak sensitif. Selain itu, Iman tidak mempunyai tulang tengah di bahagian hidung yang membuatkan aku lebih sayu tatkala memerhatikannya. Terdapat juga parut-parut kekal di kepala, tangan, kaki dan beberapa tempat yang lain. Ini telah membuatkan diriku semakin terpanggil untuk menyelami tentang insan kerdil yang berada di samping ku ini.

Kami duduk di suatu agak jauh daripada yang lain. Di situ, aku mula menyentuh hal-hal peribadi Iman. Tetapi Iman masih tidak mahu memberikan apa-apa respons dan menyebabkan aku mula kelu. Dia kelihatan runsing dan kerap memberikan jelingan yang tajam setiap kali aku menyoal hal-hal berkenaan keluarganya. Aku tidak mahu memaksa, dia masih kecil dan sangat rapuh pertahanan emosinya. Aku menukar corak pendekatan terhadapnya dan bertanya tentang hobi, makanan kesukaannya, permainan yang digemarinya dan di selang seli dengan ayat-ayat yang lucu bagi menarik perhatiannya. Bibit-bibit kemesraan mula ditonjolkan oleh Iman. Dia memberikan respons yang baik dan semakin mesra dengan ku.

“Iman duduk sini baru 8 hari, Ibu yang hantar Iman dekat sini. Ibu tak suka Iman. Ibu tak sayangkan Iman lagi.” Katanya dengan nada yang sayu. Dia telah mula membuka cerita peribadinya kepada ku. Walaupun aku terkasima dengan kata-katanya, aku cuba mengawal perasaannya agar dia tidak berhenti meluahkan perasaan kepada ku. Untuk diringkaskan cerita ini, aku telah berjaya mencungkil sebahagian besar hal-hal peribadinya pada petang itu.

Nama diberi, Muhd Iman bin Zulfakar. Dia dilahirkan di Kuala Lumpur tetapi dibesarkan oleh keluarga angkat di Tambun, Ipoh. Iman tinggal bersama dengan dengan Emak (keluarga angkatnya) sedari kecil sehinggalah saat dia dibawa oleh ibu kandungnya untuk tinggal di rumah kebajikan tersebut. Aku berasa sangat hiba mendengar keluhan dan luahan hatinya sehinggakan aku menitiskan air mata jantan yang sangat jarang mengalir. Dia terlalu mentah untuk mengharungi onak dan duri dalam kehidupan ini, tapi dia kental dalam meneruskan kehidupannya yang aku rasa kurang bernasib baik.

Sepanjang aku di sana, Iman tidak pernah lepas daripada pandangan ku. Dia sentiasa di sisi ku kerana dia sangat memerlukan aku dalam tempoh dua hari satu malam rombongan kami di sana. Kami mandi bersama, akan bersama, bermain bersama, tidur bersama malah aku lah yang memakaikan pakaian dan menyisir rapi rambutnya. Aku sangat mengasihi insan kerdil tersebut. Tatkala selesai berdoa selepas solat berjemaah, aku memberikannya ciuman di dahi Iman tanda kasih ku kepadanya. Namun begitu, lawatan kami terlalu singkat. Terlalu banyak yang perlu disingkap dan terlalu banyak yang perlu dikongsi bersamanya. Aku telah meninggalkan nombor telefon dan alamat ku padanya dengan harapan dia akan menghubungi ku di saat dia memerlukan sokongan. Aku juga telah berjanji akan menghubunginya dan akan datang pada 2hb Dec 2010.

Pengalaman pendek di Rumah Anak-anak Yatim Nurul Ehsan telah banyak membuka lembaran baru dalam hidup ku. Aku semakin menyukai kanak-kanak dan menghargai insan-insan sepertinya. Lawatan tersebut juga talah menambahkan perasaan syukur ku kepada yang Maha Esa serta sentiasa menghargai kehidupan yang selesa setiap saat aku terjaga. Syukur Alhamdulillah. Tuhan ku yang maha Agung limpahkan lah rahmat mu kepada insan yang bernama Muhd Iman bin Zulfakar. Sesungguhnya hanya engkau sahaja yang Maha Mengetahui betapa kasihnya aku terhadap insan tersebut.



Menggamit Memori Manis Bersama Adik Iman. We Love you.